Berita Semasa

Lelaki mengaku bersalah samun remaja dalam lif pangsapuri

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang tular melakukan samun di dalam lif sebuah pangsapuri beberapa hari lalu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Mohamad Hidayat Daim, 43, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Fatimah Zahari.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Hidayat didakwa melakukan samun sebuah telefon bimbit jenis Vivo YISA milik seorang remaja berusia 14 tahun di Pangsapuri Desa Jaya, di sini pada 15 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan terhadap tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam bela itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya.

Mahkamah menetapkan 20 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan fakta kes serta jatuh hukum.

Rabu lalu, media melaporkan mangsa yang berusia 14 tahun membuat laporan polis bahawa dia disamun seorang lelaki pada 15 Oktober lalu.

Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek yang positif dadah jenis morfin mempunyai empat kes jenayah dan tiga kes dadah.

Show More

Related Articles

Back to top button