Cari penyelesaian isu harga makanan kantin sekolah yang dijual mahal
CYBERJAYA – Kerajaan perlu mencari penyelesaian isu harga makanan kantin sekolah yang dijual mahal bagi memastikan ibu bapa tidak terus terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Wan Saiful Wan Jan berkata, rungutan ibu bapa sudah didengari sejak bermulanya sesi persekolahan 2023 tetapi sehingga hari ini, belum ada apa-apa kenyataan daripada menteri bertanggungjawab.
“Ini sekali lagi bukti bahawa Menteri PH-BN tidak kompeten menjaga nasib rakyat dan menteri-menteri golongan kayangan ini gagal merasai denyut nadi kesusahan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Wan Saiful berkata demikian ketika mengulas mengenai peningkatan 50 peratus harga makanan di kantin sekolah kerana peningkatan harga bahan mentah di pasaran
Wan Saiful berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklum balas lebih mendalam dari ibu bapa mengenai harga makanan kantin sekolah-sekolah di Tasek Gelugor.
“Tapi berdasarkan laporan media mengenai situasi umum seluruh negara, Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah menyatakan harga roti canai naik kepada RM1.50 berbanding RM1 tahun lepas, ayam goreng tepung naik antara RM1.50 hingga RM2 berbanding harga asal RM1 dan nasi lemak naik kepada RM1.50 berbanding RM1 sebelum ini
“Puncanya adalah peningkatan harga bahan mentah di pasaran khususnya kesukaran nak dapat bekalan seperti telur, gula dan minyak masak. Mana penyelesaian yang kononnya akan ambil masa dua minggu?” katanya lagi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasik Gelugor berkata, perkara itu gagal dilaksanakan kerana Menteri Pendidikan yang sibuk mencari formula aras tinggi ajaran Rafizi Ramli bahawa kalau harga makanan kantin tinggi, maka pelajar mesti kurangkan makan di kantin.
“Kerajaan mesti mencari penyelesaian bersama dengan pengusaha kantin. Sepatutnya Menteri Pendidikan PH-BN ini segera bertemu pengusaha kantin untuk membincangkan penyelesaian dan mencapai kata sepakat.
“Ini termasuk mempertimbangkan pemberian moratorium sewa atau subsidi kos operasi kepada pengusaha kantin yang kebanyakannya adalah usahawan kecil bumiputera
“Sebagai kerajaan, bantulah rakyat. Bukan sibuk berebut kuasa dan bergaduh sesama sendiri,” katanya lagi.