PM X

PM Anwar sifatkan serangan Israel ke atas Hospital Al-Ahli Arab keterlaluan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan terbaru Israel yang menyasarkan Hospital Al-Ahli Arab adalah satu tindakan yang keterlaluan.

Menurut Anwar, beliau menggesa gencatan senjata dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban.

“Apapun dituduh, siapapun dituduh maknanya ini adalah kesan daripada serangan dan perang sebab itu sebaiknya hentikan untuk kita redakan keadaan.

“Kalau teruskan mangsanya wanita, anak-anak dan pesakit. Ini sudah sampai ke tahap gila dan hilang perikemanusiaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium ‘The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Dianggarkan 500 terbunuh dalam serangan hospital tersebut susulan ia menjadi tempat ribuan penduduk mencari perlindungan daripada serangan tanpa belas kasihan dari Israel.

Serangan ke atas Hospital Al-Ahli Arab yang tular di media sosial awal pagi ini menunjukkan kesan serangan mengerikan dengan mayat bergelimpangan di kawasan hospital, kemusnahan bangunan dan peralatan hospital.

Mangsa-mangsa di hospital yang dikenali sebagai ‘Al-Ma’amadani’ itu terdiri daripada pesakit, ahli keluarga serta penduduk Palestin yang mencari perlindungan.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau kesal dengan negara barat yang bercakap tentang hak kemanusiaan, namun bersikap berat sebelah terhadap serangan tersebut.

“Yang paling dikesalkan adalah negara barat yang  cakap pasal hak kemanusian rupanya ada kategori. Ada manusia kelas satu ada manusia kelas hamba. Ini yang kita bantah sekeras-kerasnya,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button