PM X

‘Terima kasih Maryam, saya akan percepat selesaikan masalah tandas sekolah’ – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan meneliti dan mempercepatkan proses kerja-kerja penyelenggaraan tandas sekolah untuk keselesaan setiap pelajar di negara ini.

Dalam satu hantaran di Facebook beliau, Anwar berkongsi sepucuk surat yang ditulis oleh seorang pelajar berusia sembilan tahun yang bernama Maryam.

Dalam surat tersebut, pelajar itu mengadu mengenai keadaan tandas sekolahnya yang kotor jika dibandingkan dengan tandas sekolah lain yang telah diselenggara dengan baik.

“Tolong melawat tandas sekolah saya dan melihat keadaannya.

“Saya juga banyak melihat gambar tandas sekolah yang sudah diubah suai dan keadaannya sangat cantik, namun tandas sekolah saya tidak seperti itu,” tulisnya.

Sehubungan dengan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menzahirkan ucapan terima kasih dan akan berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Terima kasih Maryam. Saya akan berusaha dengan lebih teliti dan percepat selesaikan masalah ini demi kesejahteraan anak-anak di sekolah,” katanya dalam satu hantaran malam tadi.

Julai lalu media melaporkan, Kementerian Pendidikan (KPM) mengagihkan peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah di seluruh negara.

KPM dalam masa sama, memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah untuk menyelesaikan kerja-kerja penyelenggaraan tandas.

 

Show More

Related Articles

Back to top button