Politik

Ahli Parlimen Kuala Kangsar diugut, ditekan – dakwa Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut dan ditekan untuk menyokong Perdana Menteri.

Hamzah mendakwa, ia selepas Ahli Parlimen dari PN itu dibawa menemui seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Oktober lalu

“Pada 1 Oktober 2023, Ahli Parlimen Kuala Kangsar dibawa untuk bertemu dengan seorang pegawai tertinggi SPRM di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang telah pun disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.

“Sebelum itu, pada 26 September 2023, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga telah didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri di sebuah lokasi sekitar Damansara. Beliau telah ditekan dan didesak untuk menyokong Perdana Menteri serta dijanjikan habuan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat.

“Dalam pertemuan bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga kelihatan amat tertekan akibat intimidasi yang dikenakan terhadap beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Seri Hamzah Zainudin

Menurut Hamzah, tindakan itu adalah dipercayai sebagai satu intimidasi dan ugutan bagi kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.

“PN mengutuk keras tindakan Kerajaan Madani yang berterusan menyalahgunakan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang. Pada masa yang sama kesal di atas kenyataan media yang dibuat secara terburu-buru oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar. Kenyataan beliau dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeda dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti.

“PN mendesak Kerajaan Madani menghentikan tindakan salahguna kuasa dan intimidasi terhadap semua ahli Parlimen. Amalan seperti ini amat bertentangan dengan prinsip demokrasi yang diamalkan dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, katanya, Mesyuarat Biro Politik Bersatu akan memanggil Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Show More

Related Articles

Back to top button