Berita Semasa

Petronas lancar Rangkaian Persendirian 5G Komersial pertama di Malaysia

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini melancarkan Rangkaian Persendirian 5G Komersial yang pertama di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata, rangkaian tersebut akan dapat membantu usahawan tempatan dalam meningkatkan sambungan digital mereka.

Katanya, rangkaian persendirian 5G komersial itu turut disokong oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dibawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

“Penggunaan teknologi 5G adalah bagi mengubah permainan yang berpotensi untuk meningkatkan ekonomi negara kita dengan ketara bagi mewujudkan peluang dalam memacu inovasi, meningkatkan produktiviti, dan memupuk usaha niaga baharu.

“Kesalinghubungan yang lebih pantas dan lebih dipercayai memperkasakan perniagaan untuk menyelaraskan operasi, membangunkan perkhidmatan baharu dan mengembangkan jangkauan mereka, baik di peringkat tempatan mahupun global.

“Selain itu, peningkatan kecekapan dan keberkesanan yang ditawarkan 5G menghasilkan penjimatan kos dan daya saing yang lebih baik, akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran untuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum melancarkan Rangkaian Peribadi 5G Komersial Pertama di Malaysia oleh Petronas di Majlis berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Komunikasi dan Digital, Mohd Fahmi Fadzil.

Tambah Fadillah, sehingga september tahun ini, rangkaian 5G di Malaysia telah mencapai liputan 70.2 peratus di kawasan berpenduduk, dengan jumlah pengguna sebanyak 2.49 juta pelanggan.

Katanya, Malaysia kini berada di landasan yang betul dalam mencapai sasaran 80 peratus liputan pada hujung tahun ini.

“Sehingga September 2023, rangkaian 5G Malaysia liputan di kawasan berpenduduk berjumlah 70.2 peratus, dengan langganan 5G berjumlah 2.49 juta, diterjemahkan kepada 7.4 peratus kadar penembusan.

“Malaysia juga telah menerima pelbagai pengiktirafan, termasuk daripada Opensignal dan Ookla, yang telah menamakan Malaysia sebagai peneraju global dalam sambungan 5G dengan rangkaian yang pantas dan boleh dipercayai, memberikan pengalaman 5G yang hebat untuk pengguna.

“Kita berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 80 peratus liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk pada penghujung 2023 sebelum beralih daripada rangkaian borong tunggal kepada model rangkaian dwi,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button