Kes bunuh jururawat: Bekas tentera direman 7 hari
KANGAR – Bekas anggota tentera yang disyaki membunuh isterinya dengan cara menikam menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau semalam direman tujuh hari bermula hari ini.
Memetik laporan BH Online, suspek berusia 38 tahun itu ditahan reman hingga 7 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Norhasliza Md Ali di Mahkamah Majistret Kangar selepas suspek dibawa ke mahkamah berkenaan sekitar jam 8.30 pagi, hari ini.
Suspek disiasat kerana dipercayai membunuh Munirah Abu Bakar, 31 yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dalam kejadian di kediaman pasangan terbabit di Jalan Padang Nyu, Arau semalam.
Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, dipercayai berlaku pergaduhan antara suspek dengan mangsa di ruang tamu rumah itu ketika mangsa sedang bersiap keluar bertugas.
Suspek yang ‘naik angin’ itu secara tiba-tiba mengambil pisau dan menikam dada mangsa.
Selepas membunuh mangsa, suspek dikatakan membawa wanita berkenaan ke dalam bilik utama dan menutup mayat mangsa dengan selimut tebal sebelum memandu kereta dan menghantar dua anak mereka berusia lapan dan 10 tahun ke rumah pengasuh.
Selepas itu, suspek kemudian menyerah diri dengan memaklumkan kejadian berkenaan di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sekitar jam 10 pagi sebelum polis ke tempat kejadian.