Berita Semasa

Malaysia perkukuh hubungan dua hala dengan Iran

NEW YORK – Malaysia berhasrat untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Iran dalam pelbagai bidang dan meneroka potensi kerjasama yang baharu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara bidang utama yang akan diberikan tumpuan adalah ekonomi, pendidikan, keterjaminan makanan, sains dan teknologi.

Hasrat itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Iran, Seyed Ebrahim Raisi dalam sesi pertemuan yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) kali ke 78.

“Malaysia juga mengulangi komitmen untuk mengadakan mesyuarat suruhanjaya bersama (JCM) dan mesyuarat suruhanjaya ekonomi (JEC) antara dua negara bagi menghalusi semua potensi skop kerjasama,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.

Turut hadir pada pertemuan tersebut, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, beberapa Ahli Parlimen serta pegawai kanan kerajaan.

“Dalam pertemuan ini saya nyatakan hasrat Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Iran melalui kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, keterjaminan makanan, sains dan teknologi serta menerokai potensi kerjasama baharu.

“Semoga hubungan Malaysia dan Iran akan terus diperkukuh demi manfaat bersama, Insya-Allah,”katanya.

Anwar kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu.

Show More

Related Articles

Back to top button