Berita Semasa

Laporan pembinaan LCS antara empat laporan PAC dibentang dalam sidang Dewan Rakyat bermula 9 Okt

KUALA LUMPUR – Empat laporan, termasuk Laporan Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua – Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat, yang dijadual bersidang bermula 9 Okt ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pembentangan laporan kemajuan projek LCS di bawah Kementerian Pertahanan itu adalah bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.

Tambah beliau, selain laporan LCS, pihaknya juga akan membentangkan laporan Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi Pengurusan Industri Padi dan Beras Negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang dijadual pada 11 Oktober.

“Manakala, pembentangan bagi Laporan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Personal Protective Equipment serta Laporan Menteri Kewangan (Diperbadankan) – FELCRA Berhad pula masih belum ditetapkan tarikh,” kata Mas Ermieyati dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebagai rekod, Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat akan berlangsung dari 9 hingga 30 Oktober depan.

Dalam perkembangan yang sama, Mas Ermieyati menambah, PAC juga akan mengadakan lawatan kerja bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ke tapak pembinaan projek LCS di Lumut, Perak bagi meninjau kemajuan projek itu pada 5 Okt nanti.

Lawatan itu nanti adalah bagi memberi pencerahan kepada Johari, berhubung laporan Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua LCS sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat pada tarikh yang telah ditetapkan.

“PAC berharap Tan Sri Johari Abdul mempertimbangkan supaya Laporan PAC berhubung Kemajuan Projek Pembinaan LCS dibahaskan di Dewan Rakyat selepas dibentangkan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, hari ini PAC telah selesai mengadakan prosiding keempat bagi isu Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan PPE.

Beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan kerjasama semua saksi dan akan memasukkan keterangan serta penjelasan saksi ke dalam Laporan PAC berhubung isu tersebut untuk dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat kelak.

Hadir memberi keterangan ialah Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Kang Siong; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr Chen Chaw Min; Setiausaha Bahagian (Perolehan dan Penswastaan) KKM, Mohd Fauzee Abd Majid dan bekas Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Datuk Farshila Emran.

Sementara itu, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, PAC akan menyambung prosiding berhubung isu FELCRA Berhad yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 bagi mendapatkan keterangan dan penjelasan daripada mantan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) dan syarikat WZR Group Datuk Dr Mohmad Isa Hussain sebelum memuktamadkan laporan mengenai perkara tersebut.

“PAC telah mendengar keterangan dan penjelasan daripada dua bekas Pengerusi FELCRA Berhad iaitu Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Bung Mokhtar Raden pada 18 September (Isnin) berhubung isu ini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button