Imigresen tahan PATI ‘berkampung’ dalam hutan
CYBERJAYA – Tindakan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) menjadikan sebuah kawasan hutan di Puncak Alam sebagai lokasi perlindungan berjaya dibongkar pihak berkuasa dalam satu operasi pada awal pagi Sabtu lalu.
Dalam operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen (JIM) pada pukul 2 pagi tersebut, seramai 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan.
Semua PATI yang ditahan terdiri daripada warganegara Indonesia membabitkan 14 lelaki, 22 perempuan, seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pasukan operasi terpaksa berjalan kaki di dalam gelap hampir 15 minit untuk tiba ke penempatan haram tersebut melalui jalan hutan.
Katanya, serbuan yang dilaksanakan sangat mencabar kerana penempatan haram itu berada jauh di dalam hutan dari laluan utama dan dikelilingi cerun yang curam.
“Terdapat banyak lorong-lorong yang tersembunyi bagi memudahkan PATI meloloskan diri dari ditangkap.
“Semasa serbuan, terdapat PATI yang cuba melarikan diri melalui lorong-lorong hutan dan melompat ke cerun-cerun yang curam. Tindakan mereka ini boleh membahayakan keselamatan diri sendiri.
“Bagaimanapun, hampir semua yang cuba melarikan diri berjaya ditahan kerana kawasan tersebut dikepung terlebih dahulu,” kata Ruslin dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam serbuan itu, seramai 95 orang warga asing diperiksa dan hasilnya seramai 39 PATI yang berumur di antara dua hingga 52 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.
Baki 56 orang yang diperiksa tidak ditahan kerana mereka mempunyai slip pendaftaran program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku.
“Jabatan ini akan memanjangkan maklumat dan laporan penempatan haram ini kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkenaan untuk tindakan lanjut.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Semua PATI ditahan kemudiannya dihantar ke Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.