Suspek rempuh penguat kuasa JPJ direman empat hari
PORT DICKSON – Suspek insiden rempuhan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Sekatan Jalan Raya (SJR) di sini semalam, direman empat hari bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Majistret Port Dickson, Uthman Abd Ghani.
Dalam kejadian semalam, suspek yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Y125ZR dikatakan cuba melanggar sekatan jalan raya sebelum merempuh Pegawai JPJ, Mohd Nurhakim Mohd Razif hingga menyebabkannya cedera.
Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 11 pagi di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson.
Susulan insiden, penguat kuasa berkenaan mengalami kecederaan di kaki dan dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapat rawatan.
Suspek yang ditahan di tempat kejadian, didapati mempunyai lapan rekod membabitkan dadah dan jenayah, selain tidak mempunyai lesen memandu manakala cukai jalan tamat tempoh sejak 2012.
Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam.