Berita Semasa

Akta baharu ganti hukuman mati bermula esok

PUTRAJAYA – Kerajaan Perpaduan akanmenguatkuasakan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat esok susulan daripada penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelaksanaan mekanisme ini merangkumi faktor-faktor seperti umur banduan, tahap kesihatan dan tempoh pemenjaraan banduan serta pertimbangan-pertimbangan lain.

“Dalam menjamin akses kepada keadilan dan memelihara prinsip kesaksamaan,
Kerajaan Perpaduan melalui mekanisme yang dipersetujui telah bersetuju supaya
banduan yang dikenakan hukuman mati dan tidak berkemampuan untuk melantik
peguam bagi mewakili mereka dalam proses semakan hukuman tersebut boleh
mendapatkan khidmat guaman melalui peguam yang dilantik oleh mahkamah.

“Manakala, bagi banduan yang dikenakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat, mereka boleh mendapatkan khidmat guaman daripada YBGK.

“Kedua-dua perkhidmatan bantuan guaman yang ditawarkan ini mencerminkan keutamaan dan pendirian Kerajaan dalam memastikan keadilan diberikan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan Akta 847 melalui mekanisme yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri turut mencerminkan komitmen yang tinggi oleh kerajaan dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia sejagat.

Hal ini katanya, membuktikan bahawa
prinsip restorative justice dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia adalah sentiasa terpelihara.

“Malahan, ini juga membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan untuk memberi peluang kedua kepada banduan yang dikenakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat untuk kembali kepada masyarakat dan keluarga serta meneruskan hidup mereka sebagai rakyat biasa,” ujarnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button