Ahmad Zahid lihat kesungguhan DAP kekalkan perpaduan negara
PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan terus diperkukuhkan sehingga ke peringkat akar umbi.
Pengerusi BN itu berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan Kerajaan Perpaduan hari ini berupaya memimpin negara dengan memberikan khidmat terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Mendengar ucapan Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke) sebentar tadi ada menyebut Kerajaan Perpaduan adalah sebuah kerajaan yang inklusif dan mewakili seluruh rakyat Malaysia.
“Malah, demi menjaga kesejahteraan dan kemakmuran rakyat, perbezaan politik dirungkaikan dan perpaduan dijadikan asas untuk kita bersama membina semula negara, khususnya dalam membangunkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri bersama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, menghadiri Persidangan DAP 2023 di sini, hari ini.
Persidangan yang diadakan di Hotel Marriott, Putrajaya itu adalah yang pertama sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan 1,530 wakil cawangan dari seluruh negara dan melibatkan 3,868 perwakilan menghadiri persidangan tersebut.
Tambah Presiden UMNO itu, beliau melihat kesungguhan DAP untuk mengekalkan perpaduan negara menerusi dua ucapan yang disampaikan masing-masing oleh Loke dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
“Ia juga diterjemahkan oleh perwakilan yang saya temui selepas saya menjejakkan kaki ke dewan perhimpunan ini di Putrajaya yang mahukan kestabilan politik untuk memangkin lebih kejayaan buat Malaysia.
“BN akan terus bersama mempertahankan Kerajaan Perpaduan ini yang benar-benar mencerminkan wajah Malaysia,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Untuk rekod, sejak UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 manakala DAP pada 1966, kedua-dua parti itu tidak pernah menjalinkan kerjasama politik, namun permusuhan sekian lama itu akhirnya berkakhir setelah tertubuhnya Kerajaan Perpaduan tahun lalu.