Kadar OPR kekal 3 peratus – BNM
KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengekalkan Kadar Dasar Semalaman atau Overnight Policy Rate (OPR) pada 3.00 peratus.
Menurut BNM dalam kenyataan, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang diadakan hari ini.
“Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.
“MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya.
Dalam pada itu katanya, MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.
Mengulas lanjut, BNM menambah, pertumbuhan ekonomi terkesan pada suku kedua tahun 2023 akibat permintaan luaran yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang menurun.
“Pada masa hadapan, pertumbuhan akan terus didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dalam keadaan persekitaran luaran yang mencabar.
“Keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan berikutan pertumbuhan kredit yang berterusan.
“Faktor-faktor ini akan terus menyokong momentum pertumbuhan menjelang tahun 2024,” katanya.
Pada Julai lalu, BNM mengumumkan OPR kekal pada 3.00 peratus selepas kenaikan pertama tahun ini dilakukan pada Mei.
Ketika itu kadar OPR meningkat 25 mata daripada 2.75 peratus pada Januari dan Mac lalu.