Kemalangan sebabkan dua kereta terbakar
CYBERJAYA – Dua buah kenderaan musnah terbakar selepas terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), dekat sini hari ini.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 7.10 pagi tadi.
“Seramai 14 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil dan BBP Sri Petaling dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, kami dapati kebakaran membabitkan dua kenderaan berpunca akibat kemalangan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu adalah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail dan sebuah Perodua Myvi, yang terbakar 100 peratus.
“Kebakaran berjaya dipadamkan oleh anggota bertugas beberapa minit kemudian dan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini.
“Operasi seterusnya diserahkan kepada pihak penyelenggara lebuh raya untuk tindakan lanjut,” katanya.