Jenayah & Mahkamah

Edar ganja 51kg, suami isteri didakwa

SUNGAI PETANI – Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani di sini atas dua pertuduhan mengedar ganja sebanyak lebih 51 kilogram (kg) pada bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada dua tertuduh, Saiful Syamil Idris, 32, dan Nurul Wahida Mohd Adnan, 32, selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Kalaiarasi Muniandy.

Menurut Harian Metro, Saiful dan Wahida didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 768g di Lorong Astana, Bandar Sri Astana, Sungai Petani 12.30 tengah malam, 28 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu dituduh secara bersama mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 50,866g di tempat, waktu, dan tarikh sama.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Preeya Singaravelu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kalaiarasi menetapkan 6 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Menurut laporan sebelum ini, suami isteri itu dipercayai menjadi “transporter” untuk mengedar ganja bernilai RM160,000 sejak April lalu selepas ditahan polis di rumah mereka di Bandar Seri Astana.

Show More

Related Articles

Back to top button