PDRM tahan pekerja pusat asuhan disyaki dera kanak-kanak
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang pekerja wanita sebuah pusat asuhan kerana dipercayai terlibat dalam kes penderaan seorang kanak-kanak di sebuah pusat jagaan, Bandar Sri Permaisuri Cheras, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kejadian penderaan berkenaan menjadi tular klip video dipercayai rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) tersebar di media sosial.
Beliau menambah, semakan mendapati bapa mangsa sebelum itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian.
“Siasatan menerusi video tersebut mendapati mangsa berumur dua tahun itu dicederakan suspek yang dipercayai pengasuh di pusat jagaan tersebut.
“Hasil siasatan kemudian membawa kepada penahanan suspek berumur 28 tahun yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berkaitan kes itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zam Halim menambah, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kejadian, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.