MELAKA – Kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) pada Khamis ini bagi membincangkan bekalan beras tempatan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pertemuan itu susulan tindakan penyelarasan harga beras putih import oleh Bernas sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
“Hari Khamis ini (KPKM adakan pertemuan) bersama Bernas, pegawai-pegawai tinggi daripada Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN), kemudian bersama pengusaha-pengusaha sawah untuk kita berbincang (langkah) seterusnya (untuk memastikan beras tempatan mencukupi dalam pasaran negara).
“Macam dulu bila kita hadapi masalah telur dan ayamlah… bila semua bekerjasama, alhamdulillah kita dapat atasi. Kita harap hal beras pun sebegitu juga,” kata Mohamad selepas merasmikan Karnival Jualan Mega Agro Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pihaknya telah turut mengadakan sesi dialog dengan pengilang dan pemborong di Kedah baru-baru ini dan mereka sudah memberi jaminan untuk patuh dengan dasar-dasar ditetapkan kerajaan.
“Saya tegaskan tindakan keras akan diambil terhadap pengilang atau pemborong jika mereka cuba menyorok ataupun menukar label beras semata-mata mahu mencari keuntungan,” katanya lagi.
Mohamad kemudiannya menambah, kerajaan memberi jaminan bekalan beras tempatan di seluruh negara adalah mencukupi, meskipun berlaku kenaikan harga beras import khususnya dari India sebanyak 40 peratus.
Jelasnya, selain itu kerajaan turut menjamin harga beras tempatan kekal RM2.60 sekilogram.
Menurutnya, tiada sebab harga beras tempatan berlaku kenaikan kerana kerajaan memberikan subsidi sebanyak 60 peratus bagi mengekalkan harga pada paras RM2.60 sekilogram.