Berita Semasa

Malaysia tidak iktiraf tuntutan China di Laut China Selatan

PUTRAJAYA – Malaysia secara tegas dan konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan, dalam konteks ini, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam “Peta Standard China Edisi 2023” yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

“Peta tersebut sama sekali tidak mengikat Malaysia. Malaysia berpandangan bahawa isu Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif,” katanya.

Kementerian Sumber Asli China pada 28 Ogos lalu menunjukkan tuntutan maritim sepihak (unilateral act) China yang melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Selain itu, peta itu turut memasukkan beberapa bahagian negara India, Taiwan dan semua pulau di Laut China Selatan.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, isu ini perlu dikendalikan secara aman dan rasional melalui dialog dan rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982).

Katanya, Malaysia komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) secara menyeluruh dan efektif.

Pada masa sama katanya, Malaysia juga komited terhadap proses rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang efektif dan substantif, serta terhadap sasaran untuk memuktamadkan COC seawal mungkin.

Show More

Related Articles

Back to top button