PM X

Bantuan kerajaan tidak boleh disalur atas nama parti politik – PM Anwar

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang bentuk bantuan kerajaan yang diberikan kepada rakyat haruslah menggunakan nama kerajaan bukan atas nama atau lambang mana-mana parti politik.

Menurut Perdana Menteri, perbuatan  tersebut merupakan amalan yang dilakukan kerajaan terdahulu dan beliau juga mengakui perkara yang sama juga berlaku dalam Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan dengan itu, Anwar mengarahkan agar amalan tersebut untuk tidak diteruskan. 

“Ada berbangkit tentang bantuan-bantuan kerajaan kepada rakyat (yang menggunakan) lambang parti…(ini) tidak boleh digunakan.

“Ini telah diamalkan Perikatan Nasional (PN) dulu dan ada juga satu dua (isu) yang berlaku dalam Kerajaan Perpaduan.

“(Jadi) arahan kita (amalan) ini tidak boleh (diteruskan). Bantuan kerajaan perlu disalur atas nama kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kenduri Rakyat di Dataran Taman Dahlia, di sini, semalam.

Dalam majlis yang sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyempurnakan bantuan Bakul Rahmah kepada 10 penduduk di Taman Dahlia.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fauziah Salleh.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau menyifatkan inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub ternyata membantu meringankan beban rakyat.

“Jadi kerajaan ini, kita fikirkan (inisiatif yang baik untuk rakyat), bukan hendak bergaduh, maki hamun orang ,bukan cerca orang, bukan gaduh sesama kaum dan parti, tidak.

“Bila jadi (kerajaan yang pikul) amanah, itu yang kita buat. Contoh Salahuddin sudah lama dalam politik, tetapi apabila beliau pegang jabatan (KPDN) tumpuan kerja laksanakan amanah, mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button