1,100 orang masih belum ditemui selepas kebakaran besar landa Hawaii
LAHAINA – Sekurang-kurangnya 1,100 orang masih belum ditemui selepas kebakaran terburuk dalam dekad ini melanda Pulau Maui di Hawaii, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Menurut pihak berkuasa, 1,400 orang yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemukan selamat dan kerjasama dengan keluarga mangsa yang hilang bagi mengumpul sampel DNA juga sedang giat dijalankan.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pula sedang mendapatkan bantuan ahli keluarga bagi mengenal pasti mayat mangsa kebakaran tersebut yang mengorbankan sekurang-kurangnya 115 nyawa setakat ini.
Sementara itu, pendakwa raya negeri, Andrew Martin, berkata pihaknya akan memastikan bahawa pemberian sampel DNA itu hanya akan digunakan untuk tujuan pengecaman.
Ketua Polis Maui, John Pelletier, berkata pihak berkuasa sedang meneliti dan mengesahkan data sedia ada sebelum menyiapkan senarai orang hilang dalam beberapa hari lagi.
“Mengenal pasti mayat, yang sebahagian besarnya rentung, dalam timbunan abu di Lahaina adalah tugas yang rumit dan memakan masa. Setakat ini, hanya identiti 27 daripada 115 mangsa dapat disahkan,” katanya lapor agensi berita Sputnik.
Pada Isnin, Datuk Bandar Maui, Richard Bissen, berkata sekurang-kurangnya 114 orang maut dan kira-kira 850 lagi hilang dalam kebakaran itu.
Kebakaran yang berlaku akibat cuaca kering dan panas itu diburukkan lagi dengan angin kencang yang dicetuskan oleh Taufan Dora.
Beberapa penempatan termasuk bandar pelancongan terkenal, Lahaina, yang mempunyai 12,000 penduduk, musnah sama sekali dalam kejadian itu.