PN umum calon PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram minggu depan
KULAI – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, akan diumumkan minggu depan.
Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pengumuman itu akan dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Setakat ini memang nama calon itu sudah ada, PN Pusat sudah bermesyuarat bagi memuktamadkan calon di dua kerusi berkenaan dan majlis pengumuman calon akan dibuat minggu depan.
“Lokasi dan tarikh akan kita umumkan dalam masa terdekat. Kita jangkakan pengumuman akan diadakan di kawasan Parlimen Pulai dalam masa terdekat,” katanya.
Dr. Sahruddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor di Pusat Gerakan PN Johor di Taman Scientex Utama, Senai di sini pada Sabtu.
Beliau yang juga Pengerusi Bersatu Johor turut memberitahu kedua-dua calon tersebut merupakan anak tempatan.
“Kedua-dua calon berkenaan juga adalah golongan profesional dan dikenali di kawasan Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
Sementara itu, Dr Sahruddin memberitahu beliau dilantik menjadi Pengarah PRK Johor bagi PN.
“Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan Pengerusi Gerakan Johor, Teo Kok Chee, pula masing-masing dilantik sebagai Timbalan Pengarah PRK Johor,” katanya.