Pemuda UMNO akan bertindak agresif jika tiada tindakan pucuk pimpinan
KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO memberi amaran keras kepada pimpinan parti supaya mengambil tindakan drastik bagi menyelesaikan kemelut yang menjadi punca penolakan besar-besaran pengundi terhadap parti itu.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, demi masa depan UMNO beliau tidak gentar untuk menyuarakan gesaan daripada sesi Post Mortem yang diadakan oleh sayap parti itu ke peringkat atasan.
“Sekiranya suara Pemuda UMNO kali ini tidak didengar, pucuk pimpinan perlu berdepan dengan suara Pemuda dari seluruh Malaysia.
“Saya tidak pernah takut dan tidak pernah gentar untuk membawa suara Pemuda. Ini janji saya kerana ini soal masa depan UMNO yang jauh lebih penting dari jawatan saya,” katanya.
Belliau berkata demikian pada program Post Mortem Pilihan Raya 6 Negeri Pemuda UMNO Malaysia di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur yang dihadiri oleh kira-kira 1,000 ahli malam tadi.
Adun Merlimau itu berkata, walaupun ada pihak yang tidak senang dengan penganjuran sesi ‘bedah siasat’ kegagalan Barisan Nasional dalam PRN yang lalu dilakukan, beliau tetap berpendirian bahawa Pemuda mewakili suara yang penting di dalam parti.
“Mereka minta kita hormat saluran, kita hormat, mereka minta kita tidak kurang ajar, kita tidak kurang ajar.. kita berbincang secara betul.
“Saya juga tidak mahu kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua-ketua pemuda bahagian adalah berbentuk peribadi.
“Apa yang kita suarakan hari ini simpan dahulu sendiri-sendiri, biar saya bawa ke peringkat atasan, jika tiada apa-apa berlaku, baru kita bertindak,, setuju?,” katanya.
Katanya, sekiranya suara Pemuda tidak didengari oleh pihak atasan, mereka mempunyai cara tersendiri untuk bertindak.
“Kita ada cara kita tapi jika cara kita ini tidak langsung didengari maka kita akan lakukan sesuatu, ini amaran keras yang nak saya berikan kepada mereka,” tegasnya.