Muhyiddin dilepas dan dibebaskan tuduhan salah guna kuasa
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membatalkan empat pertuduhan yang dikenakan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kes salah guna kuasa berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa pertuduhan ke atas Muhyiddin itu cacat dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.
Jelas Jamil, pertuduhan itu juga tidak mendedahkan butir-butir yang mencukupi mengenai kesalahan yang didakwa mengikut Akta SPRM 2009.
Mahkamah Tinggi seterusnya memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dilepaskan dan dibebaskan daripada empat pertuduhan salah guna kuasa itu, yang masih belum selesai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Sementara itu, Muhyiddin memaklumkan beliau dari awal lagi sudah mengetahui pertuduhan yang dikenakan ke atasnya bermotifkan politik dan menegaskan tidak melakukan apa-apa kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang.
“Ini telah terbukti dengan apa yang telah diputuskan oleh hakim dan saya bersyukur dan dengan itu saya boleh nyatakan kita akan terus berkerja dan jelaskan kepada khalayak umum terhadap apa yang dibuat oleh pihak tertentu untuk menganiaya saya.
”Hari ini telah terbukti itu adalah tuduhan yang tidak benar tidak langsung melanggar undang-undang yang dibicarakan,” katanya di perkarangan kompleks Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Dia memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.