Berita Semasa

Kajian skop saraan permulaan kepada Kajian Perkhidmatan Awam (SSPA)

DENGKIL – Kerajaan akan mengkaji skop saraan sebagai permulaan kepada Kajian Perkhidmatan Awam (SSPA).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed berkata, skop tersebut yang meliputi gaji serta elaun yang wajar dengan beban tugas merupakan satu daripada tiga skop utama pengurusan sumber manusia.

Untuk rekod, dua lagi skop utama adalah pembangunan organisasi dan pengurusan bakat.

“Keutamaan kajian dalam tempoh terdekat adalah berkaitan skop saraan yang meliputi gaji serta elaun yang wajar dengan beban tugas serta tanggungjawab seiring dengan kenaikan kos sara hidup.

“Perdana Menteri menekankan soal saraan ini bagi memastikan mereka (penjawat awam) dapat menikmati kehidupan yang agak selesa memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang ini,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Hala Tuju Sistem Saraan Perkhidmatan Awam bersama Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Jumaat lepas.

Kata Zulkifli, kajian menyeluruh SSPA yang akan dilaksanakan itu digerakkan melalui tiga peringkat jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSSPA)yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Jawatankuasa Teknikal Kajian SSPA yang dipengerusikan beliau sendiri serta Jawatankuasa Kerja Kajian SSPA yang dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Kajian yang dilaksanakan tersebut akan membabitkan enam kelompok meliputi pendidikan, kesihatan, sains dan teknologi, teknikal,keselamatan dan pengurusan.

Dari segi proses pelaksanaan kajian, dua mekanisme digunakan iaitu mendapatkan cadangan-cadangan penjawat awam melalui sesi libat urus dengan pihak kementerian, penjawat awam negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan-badan Berkanun serta Kesatuan Sekerja.

Mekanisme kedua pula adalah melalui portal di mana penjawat awam boleh mengemukakan cadangan menerusi laman sesawang https://semakansaraan.jpa.gov.my.

Laporan interim yang mengandungi dapatan serta syor-syor skop saraan yang dikumpulkan seterusnya akan dibentangkan Perdana Menteri semasa ucapan Belanjawan MADANI pada Oktober ini.

“Keseluruhan tempoh kajian mengambil masa di antara satu tahun setengah ke dua tahun bermula Ogos 2023 hingga ke tarikh pelaksanaan SSPA pada Januari 2025”, katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button