Ini bukan masa protes – Takiyuddin seru ahli, penyokong PN keluar mengundi
KUALA LUMPUR – PAS menyeru semua pengundi yang layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk menunaikan tanggungjawab berikutan jumlah peratusan keluar mengundi yang masih tidak memberangsangkan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, justeu beliau menggesa semua ahli dan penyokong parti PAS, Bersatu dan Gerakan yang layak mengundi untuk keluar mengundi dengan kadar segera.
“Jangan terikat dengan masa tertentu asalkan dalam tempoh proses pengundian seperti ditetapkan iaitu antara 8 pagi sehingga 6 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Takiyuddin berkata, ini bukan masanya untuk menunjukkan protes terhadap proses pilihan raya atau cubaan merosakkan undi kerana perkara ini tidak seharusnya dibiarkan berterusan.
“Setiap undi anda adalah penting dan dikira. Dengan tidak memilih pihak mana yang hendak disokong atau dengan tidak mengundi, secara tidak langsung kita menidakkan hak sebagai rakyat Malaysia.
“Keluar dan pangkahlah,” katanya.