Tiada ‘perwakilan import’ dalam Dewan Merdeka – Isham Jalil
KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menafikan dakwaan bahawa terdapat kehadiran ‘perwakilan import’ dalam Perhimpunan Agung UMNO hari ini.
Beliau berkata, dakwaan yang dibuat Khary Jamaluddin Abu Bakar adalah tidak benar sama sekali kerana beliau melihat sendiri suasana dalam Dewan Merdeka.
“Saya ada dalam Dewan Merdeka sekarang, tidak ada perwakilan import seperti dituduh atau difitnah KJ (Khairy Jamaluddin).
“Saya saran dengan segala hormatnya supaya KJ datang sendiri ke Dewan Merdeka sekarang dan tunjuk mana satu perwakilan import yang didakwanya tersebut,” kata Isham dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, sebentar tadi.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin membuat dakwaan menerusi satu video bahawa terdapat ‘perwakilan import’ dibawa masuk ke dalam Dewan Merdeka bagi melaksanakan undi suara kepada usul yang diundi pada sesi petang nanti.