Undi calon BN yang baik bukan undi untuk Zahid Hamidi – KJ
KEPALA BATAS – Di sebalik ‘persengketaan’ dengan pemimpin tertinggi UMNO, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini mahu pengundi memberi peluang kepada calon Barisan Nasional (BN) yang mempunyai rekod pentadbiran baik sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata, pilihan raya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) berbeza dengan peringkat parlimen kerana rakyat perlu memilih calon yang berkelayakan, memberi khidmat terbaik dan tahu menyelesaikan masalah rakyat.
Bekas Menteri Kesihatan itu berkata demikian ketika turun berkempen untuk calon DUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang merupakan kawan baiknya.
Beliau juga menyeru supaya pengundi mengetepikan sentimen penggabungan BN dengan Pakatan Harapan (PH) seketika, dan terus memberi sokongan kepada Reezal Merican.
“Nak pilih wakil rakyat kena betul-betul pilih, lebih-lebih lagi untuk menjadi ADUN. Sebab perkhidmatan dia lain dari ahli parlimen.
“Saya datang sini (Bertam) sebab Datuk Reezal kawan baik saya dalam UMNO dan saya tahu dia boleh buat kerja,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairy yang disingkirkan oleh UMNO berkata, undi kepada Reezal tidak bererti pengundi memberi sokongan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Satu undi untuk Reezal Merican (hanya) untuk Reezal Merican, tak lebih daripada itu. Satu undi untuk Reezal Merican bukan untuk Zahid Hamidi (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).
Menurut Khairy, rayuan undi kepada Reezal itu juga adalah kerana beliau merupakan ‘waris’ kepada kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Beliau juga adalah pewaris perjuangan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini. Saya tak mahu ia terputus, Pak Lah (Abdullah) wakil rakyat di sini sejak 1970-an dan harap Reezal Merican dapat meneruskan ini walaupun ada sedikit gangguan pada PRU15,” katanya.
Reezal Merican yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bakal bersaing dengan pencabarnya, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq bagi merebut kerusi DUN Bertam pada PRN Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya tidak akan membantu kempen mana-mana calon PH, sebaliknya hanya akan memberi sokongan kepada calon BN dan segelintir wakil Perikatan Nasional (PN) pada PRN kali ini.