Dasar Malaysia Madani difahami, diterima baik
Namun penerangan perlu dipergiat ke kawasan luar bandar
CYBERJAYA – Dasar Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat difahami dan diterima dengan baik oleh rakyat walaupun tidak sampai satu tahun dilancarkan.
Dapatan tersebut terkandung dalam laporan kajian Ilham Centre mberjudul Tahap Penerimaan Rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan Dan Dasar Malaysia Madani yang diterbitkan hari ini.
Kaji selidik tersebut dilaksanakan di enam buah negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 11 sehingga 27 Julai 2023 lepas.
Laporan tersebut menyebut, 45 peratus daripada 2,416 responden yang ditemui menyatakan memahami dasar yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan.
Kata laporan tersebut, peratusan penerimaan adalah baik untuk Kerajaan namun penerangan perlu dilakukan dengan lebih giat lagi terutama mesej Kerajaan ke kawasan luar bandar.
“Naratif perpaduan dan memanusiawikan dasar dan pelaksanaan Kerajaan dilihat sesuai dengan citra Malaysia yang berbilang kaum,” kata kajian tersebut.
Namun, laporan tersebut turut menyatakan, majoriti responden melihat Malaysia Madani seakan sama dengan slogan dan retorik sebelumnya yang bersifat kosmetik.
“Keperluan mendesak masih menuntut kepada hal-hal terkait dengan penambahbaikan sosioekonomi yang menyentuh kos sara hidup, inflasi, peluang pekerjaan dan gaji bermaruah yang pada pendapat mereka lebih ‘Madani’ dalam erti kata yang sebenar.
“Menerusi dapatan kualitatif, sebilangan besar responden menyifatkan dasar Kerajaan agak mencapah. Ini kerana naratif Kerajaan Perpaduan, Malaysia Madani dan Inisiatif Payung Rahmah membawa mesej yang tidak sekata,” katanya lagi.
Meskipun demikian, semua inisiatif dalam konteks Malaysia Madani tetap dipandang baik dan diberi pujian oleh responden kerana ia dapat meringankan beban hidup rakyat.