Politik

Fasih berbahasa Cina, kehadiran Nallan disenangi pengundi DUN Bukit Gasing

PETALING JAYA – Walaupun berbangsa India, namun calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing, Nallan Dhanabalan berkebolehan bertutur dan menulis dalam bahasa Cina.

Menurut Nallan, kemahirannya bertutur dalam tiga bahasa utama Malaysia membuatkan beliau diterima baik khususnya daripada pengundi Cina yang merupakan pengundi majoriti DUN Bukit Gasing.

“Kempen di DUN Bukit Gasing, saya telah jumpa ramai pengundi dalam kalangan Cina, Melayu dan India.

“Maklum balas mereka terhadap saya sebagai calon agak baik dan khususnya kepada pengguna Cina, saya dapat mendekati mereka kerana saya boleh berbahasa Cina dan bila saya jumpa pengundi india saya juga boleh berbahasa Tamil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Tribune selepas membuat aduan rasmi di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berhubung isu sampah di kawasan Bukit Gasing di sini, hari ini.

Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing, Nallan Dhanabalan membuat aduan di Ibu Pejabat MBPJ hari ini. – Foto Najmi Zulkefle

Mengulas lanjut katanya, aduan daripada penduduk berhubung isu longgokan sampah di kawasan gerai makan berhampiran Pangsapuri Flat Sekyen 17 Bukit Gasing itu tidak diendahkan buat sekian lama.

Justeru, beliau telah turun padang hari ini bagi membuat aduan di Ibu Pejabat MBPJ berhubung isu sampah tersebut.

Katanya, hasil perbincangan lanjut, pihak MBPJ telah menyediakan tong sampah sementara bagi memudahkan urusan pembuangan sampah penduduk.

“Saya ucapkan terima kasih kepada MBPJ selepas saya buat aduan saya telah hubungi pegawai yang terlibat dan pegawai itu telah bertindak dengan pantas dan segera dalam menyelesaikan aduan sampah yang telah saya sampaikan.

“Ini membuktikan bahawa mereka peka terhadap aduan-aduan yang dibawa oleh penduduk ataupun pemimpin dalam kawasan, tetapi masalahnya adakah aduan ini dibawa oleh ADUN atau calon-calon sebelum ini?

“Kalau wakil rakyat sebelum ini buat aduan boleh saja MBPJ mengambil tindakan segera, masalahnya mungkin ada yang tidak buat kerja,” katanya yang juga merupakan bekas Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button