Politik

Kerajaan Melaka bakal ‘salin templet’ parti Kerajaan Perpaduan

BANGI – Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Melaka sedia melaksanakan perkongsian kuasa dengan parti-parti di bawah Pakatan Harapan di bawah pentadbiran Ketua Menteri baharu, Datuk Ab Rauf Yusoh yang dilantik semalam.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun parti itu mempunyai majoriti besar bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau melihat perkongsian kuasa secara bersama sebagai langkah terbaik.

Ahmad Zahid juga berkata, barisan Exco Melaka yang akan dilantik tidak lama lagi juga harus mencerminkan komposisi parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan sama seperti di peringkat Persekutuan.

Justeru, katanya, satu pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka yang baharu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan hal berkenaan.

“Alangkah baiknya jika Kerajaan Negeri Melaka dapat menggambarkan kebersamaan dan juga perkongsian kuasa dengan ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang telah dipilih oleh rakyat daripada parti-parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan sebagaimana di Persekutuan.

“Dan begitu juga portfolio yang akan diagih-agihkan kepada barisan Exco ini, saya yakin ia akan diperbincangkan dengan saya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Ab Rauf Yusoh berpendapat kerajaan negeri perpaduan baharu Melaka adalah kukuh dan stabil.

“Ia adalah kerajaan perpaduan yang ditubuhkan hasil persetujuan bersama antara parti politik yang mempunyai mandat kuat untuk berkhidmat kepada rakyat Melaka,” katanya dalam catatan Facebook, hari ini (1 April 2023).

Ab Rauf berkata beliau akan merangka Pelan 100 Hari baharu untuk menjana lebih banyak pelaburan dan pekerjaan untuk Melaka.

“Rakyat Melaka mahukan pembangunan. Mereka mahu melihat kemudahan hospital dan sekolah serta peluang perniagaan, pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik.

“Melaka juga memerlukan infrastruktur yang lebih baik, termasuk bekalan air, jalan raya dan digital,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021 lalu, Barisan Nasional (BN) dan UMNO menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Pakatan Harapan (lima) dan Perikatan Nasional (dua).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button