Politik

Tawaran PN Selangor: Inisiatif air percuma berbeza dengan yang sedia ada – Azmin

GOMBAK  – Calon Perikatan Nasional (PN)  Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menegaskan tawaran air percuma yang diumumkan Perikatan Nasional (PN) kepada  rakyat Selangor adalah berbeza dengan inisiatif sedia ada.

Pengerusi PN Selangor itu berkata, ketika beliau bersama Pas mentadbir Selangor, setiap isi rumah merasai inisiatif bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu.

Menurut beliau, inisiatif tersebut mampu direalisasikan susulan rizab simpanan negeri Selangor yang kini mencecah RM3.4 bilion.

“Ya betul inisiatif program air percuma ini bukanlah perkara yang baharu tetapi saudara kena teliti dan faham ketika saya dan rakan-rakan daripada Pas berada di pentadbiran Shah Alam kita memastikan setiap isi rumah mendapat bekalan air percuma 20 meter padu.

“Untuk kerajaan negeri menyediakan bekalan air terawat, air bersih kepada hampir 6 juta pengguna khususnya isi rumah di Selangor, kita membelanjakan sebanyak RM184 juta namun bagi saya kita mampu melakukan kerana kita mempunyai simpanan yang besar.

“Sebelum saya meninggalkan negeri Selangor simpanan negeri sebanyak RM4 bilion, takkanlah saya tidak boleh keluarkan sebahagian untuk memberikan manfaat kepada rakyat?,” soalnya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Bekas Menteri Besar Selangor itu menambah, terdapat golongan yang tercicir daripada menerima air percuma bagi inisiatif sedia yang diberikan oleh kerajaan negeri.

“Ini yang saya sebutkan tadi ada pihak kata simpanan (duit) dia besar (banyak)  tapi dia tidak berbelanja, apa yang dinamakan atas penjajaran semula dia telah memberikan air percuma kepada golongan B40 bukan kepada semua rakyat Selangor ia tidak sama apa yang telah saya lakukan dengan apa yang dia lakukan.

“Penguncupan itu adalah secara drastik. Maknanya dia tidak lagi perlu membelanjakan RM184 juta untuk rakyat dia belanja hanya sejumlah kecil sudah tentulah simpanannya akan meningkat.

“Tetapi apa maknanya? B40 sudah menjadi B60 atau B70 maka kumpulan ini sekarang tercicir daripada mendapat air percuma,” katanya lagi.

Justeru, katanya, PN komited untuk bukan sahaja mengembalikan program ini kepada rakyat di negeri Selangor, malah akan memperluaskannya kepada golongan B40 dan mereka yang berpendapatan RM15,000 ke bawah.

Show More

Related Articles

Back to top button