Nelayan Kemasik kecewa projek benteng ombak RM7j gagal
KEMAMAN- Nelayan di Kemasik dekat sini mendakwa projek benteng pemecah ombak bernilai RM7 juta yang dilaksanakan oleh kerajaan PAS gagal menyelesaikan masalah muara cetek yang dihadapi mereka sejak lima tahun lepas.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Nelayan Kemasik Rozali Ismail turut mempersoalkan mengapa projek yang menelan belanja yang besar itu tidak dipantau rapi dan gagal siap sepenuhnya seperti yang dirancang.
“Projek bernilai RM7 juta itu gagal menghalang muara Kemasik daripada terus cetek manakala pembinaannya tidak sempurna kerana tiada pemantauan daripada mana-mana agensi kerajaan negeri.
“Projek ini sudah empat tahun … janji tiga bulan. Sekarang sudah masuk lima tahun dah, sampai bila nak siap? Bila ada nelayan suarakan, mereka kata nelayan yang salah,” katanya kepada pemberita di Kuala Kemasik semalam.
Seorang nelayan tempatan Mohd Pilus Awang, 58, berkata batu-batu yang digunakan sebagai benteng pemecah ombak pula sudah banyak yang telah jatuh, sekali gus menyempitkan lagi laluan keluar masuk bot di muara.
“Jika musim berombak, para nelayan mengalami kesusahan memasuki muara Kemasik manakala ketika air surut, kami terpaksa menarik bot masing-masing ke luar muara seperti lembu tarik barang,” katanya.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Kemasik Mohd Khairi Afiq Mohd Yusof berkata, beliau mengambil maklum berhubung masalah berhubung muara yang dihadapi nelayan berkenaan.
“Ini masalah yang serius…Insya-Allah kami akan cuba selesaikan, masalah muara yang sempit ini juga akan kami beri perhatian sewajarnya,” katanya memetik laporan FMT hari ini.
Pentadbiran negeri Terengganu diambil alih oleh PAS selepas PRU14, setelah menang selesa 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala BN hanya meraih 10 kerusi.
Pada PRN 12 Ogos ini, Mohd Khairi Afiq akan mencabar penyandang daripada PAS, Saiful Azmi.