Bank Dunia iktiraf Malaysia sebagai negara terbaik hadapi cabaran Covid-19
KUALA LUMPUR – Bank Dunia memberi pengiktirafan terhadap Malaysia sebagai negara terbaik Asia Tenggara dari segi daya tahan luar biasa menghadapi cabaran Covid-19 seperti yang disiarkan dalam laporan komprehensif terbaharunya bertajuk, “Building Malaysia’s Resilience: Lessons from Covid-19’s Economic Impacts and Policy Responses”.
Menurut laporan itu, pengiktirafan itu diberikan susulan keberkesanan dasar dan langkah ekonomi Malaysia, disokong oleh tindakan tegas dan kepimpinan yang empati.
Malah, pengiktirafan Bank Dunia terhadap kedudukan tertinggi Malaysia di Asia Tenggara ini adalah bukti usaha kolektif negara dalam melindungi kesihatan awam, mengurangkan gangguan ekonomi dan memupuk daya tahan masyarakat.
Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Amin, berkata, pengiktirafan tertinggi di Asia Tenggara itu adalah bukti usaha kolektif negara dalam melindungi kesihatan awam serta mengurangkan gangguan ekonomi.
“Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas kepimpinan cemerlang beliau sepanjang krisis kesihatan global yang tidak diduga ini.
“Laporan itu menyerlahkan keberkesanan dasar dan langkah ekonomi Malaysia, disokong oleh tindakan tegas dan kepimpinan yang empati.
“Ketika dunia terus bergelut dengan impak pandemik yang meluas, daya tahan Malaysia menjadi contoh untuk diteladani oleh negara-negara lain.
“Pengajaran yang diperoleh daripada krisis ini sudah pasti akan membentuk dasar dan strategi masa depan, serta mengukuhkan keupayaan untuk menangani sebarang cabaran yang mungkin timbul kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut laporan bertajuk ‘Building Malaysia’s Resilience: Lessons from Covid-19’s Economic Impacts and Policy Responses’ (Membina Daya Tahan Malaysia : Iktibar Impak Ekonomi dan Tindak Balas Dasar Akibat Covid-19), Bank Dunia menyifatkan Malaysia sebagai peneraju dalam kaji selidik yang turut melibatkan Kemboja, Indonesia, Mongolia, Filipina dan Vietnam.
Tambah Azril, MASA akan kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam meningkatkan daya tahan Malaysia untuk memacu pembangunan yang lebih mampan.
“MASA amat bangga dapat bersama-sama rakyat Malaysia melangkah ke arah masa depan yang lebih cerah dan berdaya tahan. Kita akan terus mengatasi halangan demi halangan untuk membina Malaysia yang lebih kukuh dan makmur,” ujarnya lagi.