Lelaki pukul orang pakai besi ditahan polis
KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki susulan aksinya dirakam dalam sebuah video cuba memukul seorang lelaki lain dengan sebatang besi pada Isnin lalu.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan selepas polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 48 tahun berhubung kejadian tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, pergaduhan tersebut tercetus apabila pintu kereta yang dibuka suspek terkena pintu kereta pengadu.
Katanya, suspek dikatakan tidak berpuas hati selepas dipanggil “stupid” (bodoh) oleh pengadu.
“Kejadian ini dipercayai berlaku pada 31 Julai lalu, kira-kira jam 9.55 pagi di kawasan Taman Danau Desa, Kuala Lumpur.
“Hasil siasatan, kita membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun untuk membantu siasatan sebelum direman tiga hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya Amihizam, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
“Kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.
“Siasatan sudahpun dijalankan, justeru kita mohon semua pihak menghentikan sebarang spekulasi mengenai rakaman video kejadian ini,” katanya lagi.
Menerusi rakaman video yang tular, kelihatan seorang lelaki memegang satu kon dipercayai bagi mempertahankan diri daripada diserang seorang lelaki bersenjatakan sebatang besi.