Politik

Muhyiddin kayakan keluarga, kroni ketika jadi PM – Anwar

HULU LANGAT – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi Perdana Menteri dengan mengayakan kroni dan keluarga.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika berucap pada ceramah Jelajah Perpaduan di Semenyih malam tadi, lapor portal Sinar Harian.

Dakwa Anwar lagi, negara ini telah rosak kerana tindakan Perdana Menteri yang hanya menjaga kuasanya dan keluarga sendiri.

“Dia (Muhyiddin) sakau sana sini… dia boleh maki saya berbakul-bakul. Tetapi dia tak boleh tegur atau kecam saya (atas alasan) saya guna kuasa untuk sakau duit negara ini.

“Saya nak tanya Muhyiddin, dok cakap banyak sangat… boleh tak, kamu sebut ‘tak buat apa-apa’? Kayakan kontrak anak kamu dan menantu kamu… (tetapi) kamu cakap bersih,” katanya dalam ceramah berkenaan.

Anwar menegaskan, beliau juga telah melihat fail-fail yang dipercayai berkaitan unsur penyalahgunaan kuasa.

“… ada orang pula (cakap), ‘ya betul Tan Sri bersih’. Saya sekarang tak macam dulu, saya tak tengok fail.

“Sekarang, saya tengok fail (sebagai Menteri Kewangan),” jelas beliau.

Pada 9 Februari lalu, Muhyiddin menafikan dakwaan beliau terlibat memberikan kontrak Sistem Imigresen Bersepadu nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad, yang dikaitkan dengan menantunya.

Menurut beliau, ia merupakan satu fitnah yang sengaja dilakukan dan direka untuk mencalarkan maruahnya dan keluarga.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga mendakwa perkara tersebut adalah sebahagian daripada siri tohmahan jahat terhadap dirinya yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional pimpinan Anwar.

Show More

Related Articles

Back to top button