Kerajaan umum tambahan RM50 juta untuk perluas program Rahmah di seluruh negara
KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi memperluaskan inisiatif Rahmah melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perluasan inisiatif Rahmah perlu disegerakan selepas kerajaan melihat keberkesanan yang diterima oleh masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah.
“Kami akan memperluaskan program ini ke seluruh daerah .. dan tentunya ia memerlukan kos yang lebih dan saya akan pastikan untuk menyegerakan pelaksanaan ini secara berperingkat. Jadi kita luluskan tambahan RM50 juta untuk ini.
“Kalau wang atau dana tidak cukup, saya nanti bincang dengan Kementerian Kewangan untuk cari wang tambahan,” katanya dalam ucapan Hari Pelanggan Kebangsaan 2023 di Bukit Jalil hari ini.
Perdana Menteri berkata, melalui perluasan itu, kerajaan mensasarkan lebih banyak penganjuran program Rahmah dapat dilaksanakan di seluruh negara.
“Kerana kejayaan ini, kementerian (KPDN) ada mengesyorkan supaya inisiatif ini diperluaskan ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya semua dapat menikmati kemudahan,” katanya.
Sementara itu, Anwar berharap, inisiatif yang diterajui oleh bekas menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub itu dapat diteruskan dengan komitmen pegawai-pegawai di kementerian itu.
“Saya harap program Rahmah ini dapat diselenggarakan oleh kementerian, saya percaya timbalan menteri boleh pegang tugas dan terus depani agenda ini bersama Ketua Setiausaha Kementerian dan pegawai-pegawai di kementerian,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menyatakan rasa terharu dan berterima kasih kepada rakan-rakan kerjasama yang menyambut baik pelaksanaan inisiatif Rahmah sejak diperkenalkan.
“Ramai sekali yang terlibat. Saya bagitahu Salahuddin (arwah) dahulu saya sangat terharu apabila projek ini mendapat sambutan dalam kalangan restoran, kedai-kedai, toko-toko.
“Saya juga bagitahu dia (Salahuddin) sepatutnya diadakan satu majlis ucapkan terima kasih kepada mereka (rakan kerjasama) yang terlibat,” katanya.