Muhyiddin hadir iringi 3 calon PN di DUN Gombak
GOMBAK – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pagi ini mengiringi tiga calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) parlimen Gombak yang hadir pada hari Penamaan Calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, di sini.
Perarakan Perikatan Nasional sejauh kira-kira 1 kilometer dari simpang Masjid As Sharif turut disertai Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim dan ribuan penyokong gabungan parti itu.
Bagi penamaan calon hari ini, PN diwakili oleh Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali (Bersatu) di kerusi N.18 Hulu Kelang, Muhammad Hanif Jamaluddin (Pas) bagi kerusi N.16 Sungai Tua dan Muhammad Hilman Idham (Bersatu) bagi kerusi N.17 Gombak Setia.
Difahamkan perhimpunan pemimpin-pemimpin dan penyokong PN bermula seawal 5.30 pagi dan tiba di pekarangan Pusat Penamaan Calon kira-kira 8.30 pagi.
Di kerusi Hulu Kelang, Azmin yang sebelum ini bertanding di DUN Bukit Antarabangsa akan bertemu dengan calon dari Pakatan Harapan, Juwairiya Zulkifli.
Di Sungai Tua, Muhammad Hanif akan bertemu dengan Datuk Seri Amirudin Shaari.
Dan di Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham akan bertemu dengan calon Barisan Nasional anak kelahiran Gombak yang bertanding di kerusi Parlimen Gombak pada PRU ke 15, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin.
Muhammad Hilman merupakan penyandang kerusi N17 ketika bertanding atas tiket PKR sebelum menyertai Bersatu pada 2020.
Bagi PRN 2023, PN mengetengahkan 56 calon di Selangor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon.