Berita Semasa

Ahmad Zahid dakwa kerajaan negeri Terengganu gagal agih bantuan banjir

KUALA TERENGGANU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa kerajaan negeri Terengganu gagal mengagihkan bantuan banjir kepada sebahagian mangsa di negeri itu walaupun peruntukan tambahan RM50 juta sudah diberikan Kerajaan Persekutuan.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku, sebalikanya peruntukan tersebut perlulah diagihkan dengan adil tanpa mengira kawasan Parlimen pembangkang mahupun kerajaan.

Katanya, ramai mangsa yang masih belum mendapat bantuan itu mendakwa nama mereka tercicir kerana tidak menyokong Pas yang menerajui kerajaan negeri Terengganu.

“Mereka tanya saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, mana duit (bantuan) itu?

“Saya katakan kepada mereka ia telah diberi melalui saluran Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara), ICU (Pejabat Pembangunan Persekutuan), pegawai daerah sebelum ke Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (yang dilantik kerajaan negeri),” katanya pada program Jelajah Madani peringkat Terengganu di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, beliau menerima banyak aduan daripada mangsa banjir negeri ini termasuk di Seberang Takir, Kuala Nerus dan Kemaman yang masih belum dapat bantuan tunai RM1,000.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 150 ­mangsa banjir di Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman membuat laporan polis selepas mendakwa masih belum menerima bantuan yang dijanjikan kerajaan.

Pada 13 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi membantu mangsa yang terjejas banjir di Terengganu, Disember lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button