‘Hati saya begitu pilu dan remuk redam menerima perkhabaran semalam’ – Hannah Yeoh
CYBERJAYA – Hannah Yeoh mengakui pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub semalam amat mengesankan dirinya.
Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, allahyarham merupakan sahabat baik yang paling istimewa.
“Saya kehilangan seorang sahabat yang sentiasa mempertahankan saya.
“Hati saya begitu pilu dan remuk redam menerima perkhabaran semalam,” kongsi Hannah dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, hari ini.
Jelas beliau, sifat Allahyarham yang kuat bekerja, setia dan sedia mendengar sukar dicari ganti.
“Bila mana buku saya ‘Becoming Hannah’ digunakan sebagai senjata politik untuk menyerang, Salahuddin Ayub-lah antara yang bangun mempertahankan saya.
“Pernah sekali dalam Parlimen, mantan Menteri membuat komen murahan semasa perbahasan saya. Salahuddin-lah yang kemudiannya mempertahankan saya dalam ucapan beliau,” kongsi Hannah lagi.
Kata Hannah, sebagai menteri yang dipertanggung jawabkan mengawal selia hal ehwal kepenggunaan dan kos sara hidup, allahyarham komited dengan tugasnya.
“Program Rahmah yang beliau mulakan telah memberi kesan kepada rakyat sejak hari pertama ianya dilancarkan.
“Bukan sekadar program, beliau mahu ia menjadi sebuah sistem nilai – para peniaga saling tolong menolong mereka yang memerlukan,” jelas Hannah lagi.
Di akhir hantaran tersebut, Hannah berkata beliau boleh terus menerus menulis dedikasi, namun sedar tulisannya tidak akan dapat mengembalikan allahyarham.
“(Suami saya) memahami kehilangan kali ini amat berat buat saya untuk menerimanya.
“Bilamana warna kulit, kaum dan agama menjadi modal politik bagi sesetengah ahli politik untuk memecah belahkan rakyat, saya bersyukur kepada Tuhan kerana mempunyai sahabat seperti Salahuddin,” kata Hannah dalam hantaran tersebut.