Wan Noor Hayati Tokoh Wartawan Rakyat meninggal dunia
SERDANG – Tokoh Wartawan Rakyat, Wan Noor Hayati Wan Alias meninggal dunia di Hospital Serdang, jam 5.30 petang tadi.
Allahyarham, 44, menghembuskan nafas terakhir selepas lebih sebulan terlantar uzur akibat radang paru-paru.
Penerima Anugerah Kajai 2014 itu dikesan menghidap penyakit itu sejak April lalu.
Namun, selepas dibenarkan keluar dari hospital pada 14 Jun lalu, Wan Noor Hayati yang terpaksa berhenti daripada sebuah portal berita hanya mampu terbaring di rumahnya di Taman Kajang Utama, di sini.
Disebabkan keadaan kesihatannya yang semakin merosot, Allahyarham terpaksa dimasukkan ke unit kecemasan Hospital Serdang dua hari lalu.
Dalam pada itu, difahamkan jenazah bekas wartawan Utusan Malaysia dan Berita Harian itu akan dibawa ke Surau Perigi Talan, Kampung Bintongan, Rembau, Negeri Sembilan untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bintongan jam 11 malam ini.