Berita SemasaLuar NegaraSukan

Pemain badminton remaja China alami serangan jantung – Jurucakap PBSI

YOGYAKARTA – Punca kematian pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie ketika perlawanan di Kejohanan Badminton Remaja Asia, di sini kelmarin, disahkan akibat serangan jantung.

Insiden itu berlaku ketika Zhi Jie,17, sedang berdepan lawan dari Jepun, Kazuma Kawano dalam aksi Kumpulan D di GOR Among Raga.

“Laporan perubatan menunjukkan mangsa mengalami serangan jantung,” kata jurucakap Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Broto Happy dalam satu sidang akhbar.

Jurucakap itu turut mempertahankan tindakan pasukan perubatan dan penganjur selepas rakaman video menunjukkan mereka teragak-agak untuk memberikan bantuan kecemasan sejurus pemain itu rebah di dalam gelanggang.

Katanya, pasukan perubatan perlu menunggu kebenaran daripada pengadil sebelum boleh memasuki gelanggang.

Zhi Jie mula bermain badminton sejak tadika dan menyertai skuad remaja China, tahun lalu.

Awal tahun ini, dia berjaya menjuarai Kejohanan Remaja Antarabangsa Belanda, kejohanan berprestij bagi peringkat remaja.

Persatuan Badminton China (CBA) dalam satu kenyataan berasingan berkata, badan induk itu sangat berdukacita di atas kehilangan pemain berbakat seperti Zhi Jie.

“Zhang Zhi Jie sangat meminati badminton dan adalah pemain terbaik dalam skuad remaja kebangsaan (China),” kata CBA dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) turut menzahirkan rasa sedih di atas kehilangan bakat badminton yang semakin meningkat naik, Zhi Jie.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan sepasukannya, Persatuan Badminton China, dan seluruh komuniti badminton China,” katanya dalam satu kenyataan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button