Krisis dalaman BN: Muhyiddin dakwa Kerajaan Perpaduan hadapi masalah besar
SEREMBAN – Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menghadapi masalah besar susulan krisis dalaman yang dihadapi Barisan Nasional (BN) ketika ini, dakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, keputusan MIC dan MCA yang mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini telah menandakan tiada kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Masalah besar mereka antara lain, sekarang ada gabungan BN, BN terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC, apa yang jadi kepada MCA dan MIC? terkeluar dan tidak masuk.
“Tidak pernah berlaku dalam sejarah MCA dan MIC tidak bertanding dalam pilihan raya, kenapa? sebab tiada kesepakatan di antara mereka,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Sembilan di sini malam tadi
Tambah Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini sedang menghadapi 47 pertuduhan di Mahkamah juga adalah liabiliti kepada Anwar.
“Apa masalah Anwar? jika tiada sokongan BN, beliau tidak akan jadi Perdana Menteri. Sudah timbul kacau bilau politik dalam PH dan kacau politik dalam BN, kalau sudah parti yang mendukung kerajaan Pusat begitu keadannya, zahirnya nampak berpadu, sebenarnya tidak lagi, tunggu masa sahaja akan terburai dan tersungkur jatuh,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Presiden Bersatu itu sekali mendakwa pengumuman pelepasan hutang peneroka Felda oleh Anwar baru-baru ini adalah satu pembohongan.
“Setahu saya ia bukan penghapusan hutang lapuk, hapus maksudnya apa? batal, buang, ada bawa duit apa-apa dalam akaun? batalkan sahaja tidak perlu bayar, itu sahaja, yang kamu bayar RM900 juta itu mana saya tahu.
“Mungkin itu sebahagian daripada bayaran sukuk, waktu saya jadi Perdana Menteri, antara kita mahu buat adalah untuk memulihkan kembali Felda yang berdepan masalah yang banyak. Bagi membantu proses pemulihan, diputuskan oleh Kabinet supaya kita keluarkan bon ataupun sukuk bernilai RM9.9 bilion.
“Itu bon, ia digunakan untuk pemulihan, penghapusan ini bukan bon, bukan duit masuk dalam akaun, hapuskan la sahaja,” katanya lagi.