Berita Semasa

Isu 3R: Ketua Umno gesa Guan Eng disiasat

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh menyelar kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang disifatkan menyentuh sensitiviti 3R iaitu agama, bangsa dan raja dan menggesa polis melakukan siasatan segera.

Beliau berkata, sebagai pemimpin parti, Guan Eng tidak seharus mempamerkan sikap berbaur perkauman dengan menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam terhadap Islam.

Dr. Akmal berkata, larangan menyentuh isu 3R bukan hanya perlu dipatuhi oleh pihak pembangkang tetapi wajib juga dipatuhi semua pihak.

“Bila kita minta jangan mainkan isu 3R iaitu “religion, race, royal” bukan hanya kepada pembangkang,tetapi juga kepada pihak kerajaan.

“Maka tuduhan seperti ini sangat sangat tidak diperlukan oleh rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Dr Akmal yang juga Adun Merlimau berkata, kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu tidak seharusnya dijadikan modal politik kerana rakyat sudah bosan dengan politik sentimen.

“Rakyat Malaysia mahukan politik yang progresif dan matang. Kita berbahas dengan idea bukan dengan sentimen yang memecahkan sesama kita.

“Islam tidak pernah mengajar untuk umatnya menindas agama lain dan itu adalah fakta!

“Saya mohon kenyataan ini disiasat oleh pihak polis supaya kita memberi amaran yang keras jangan sesekali mempermainkan isu 3R tidak kira dari parti mana mereka datang,” ujarnya.

Akhbar China Press baru-baru ini melaporkan Guan Eng memberi amaran kepada pengundi negeri itu supaya menyekat ‘gelombang hijau’ dari bertapak di negeri itu kerana akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam dikenakan pelbagai sekatan.

Akhbar berbahasa Cina itu memetik bekas ketua menteri Pulau Pinang itu sebagai berkata, jika gelombang hijau tidak senang dengan tokong yang mereka lihat, mereka akan memusnahkannya.

“Tetapi selagi Pulau Pinang masih kekal sama, rakyat masih boleh bersembahyang kepada dewa dan Buddha,” kata Lim ketika menghadiri sebuah acara keagamaan sempena Jelajah Raja Naga Putih Tian Fu Gong di Jelutong semalam.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button