Berita Semasa

‘Tiada individu yang lebih besar daripada undang-undang negara’ – CUEPACS

Mahu pihak berkuasa dan kerajaan siasat dakwaan 'Menteri' buat kecoh di KLIA

CYBERJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta pihak berkuasa dan Kerajaan melakukan siasatan terperinci berkenaan dakwaan seorang Menteri yang didakwa membuat ‘kecoh’ serta menceroboh dewan ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, kelakuan sebegitu adalah tidak wajar kerana semua pihak termasuk pemimpin negara sewajarnya memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa yang melaksanakan tugas.

“Tidak wajar kelakuan menceroboh itu dilakukan kerana ia jelas melanggar prosedur keselamatan atau SOP yang telah ditetapkan.

“Sekiranya berlaku salah faham dalam proses penahanan pelancong terbabit, Menteri terbabit boleh memberikan bantuan mengikut prosedur atau mendapatkan maklumat yang lebih jelas dahulu daripada pihak berkuasa di lapangan terbang,” kata Adnan dalam satu kenyataan kepada pihak media, hari ini.

Justeru, kata Adnan, CUEPACS berharap satu siasatan penuh dilakukan oleh pihak berkuasa dan kerajaan dalam memastikan tindakan sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Tiada individu yang lebih besar daripada undang-undang negara dan jika berlakunya pelanggaran undang-undang dalam hal ini, tindakan tegas wajar diambil oleh Kerajaan bagi menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.

“CUEPACS tidak mahu tugas yang dilaksanakan oleh penjawat awam bagi menjaga kedaulatan negara diganggu hanya kerana kepentingan peribadi pihak tertentu,” kata Adnan lagi.

Terdahulu sebuah portal melaporkan tidakan seorang individu didakwa berjawatan menteri membuat kecoh apabila masuk ke balai ketibaan untuk membantu seorang warga China yang ditahan daripada masuk ke negara ini.

Individu itu turut dilaporkan memarahi polis bantuan KLIA dan pegawai Imigresen ketika beliau cuba membantu wanita berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button