Berita SemasaPM X

Sektor bank disaran terus bantu individu, PKS

CYBERJAYA – Sektor perbankan disaran supaya terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada individu dan PKS yang memerlukan, termasuklah bantuan penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor perbankan memainkan peranan yang penting dalam mendorong pertumbuhan ekonomi pascapandemik, terutamanya dalam membantu peminjam yang masih terkesan dan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan mereka.

“Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh institusi perbankan yang bersedia untuk membantu rakyat dan PKS.

“Industri perbankan perlu terus menyokong pembangunan usahawan mikro terutama golongan rentan melalui inisiatif seperti i-TEKAD yang menawarkan modal permulaan dan pembiayaan mikro dengan menggunakan sumber gabungan dana daripada institusi kewangan dan dana kewangan sosial seperti zakat,” kata Anwar dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, telah mengadakan sesi dialog bersama-sama wakil sektor perbankan semalam sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan buah fikir serta pandangan berkaitan ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat.

Sesi dialog tersebut dihadiri oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Jessica Chew, serta pemimpin bank seperti AMMB Holdings Bhd (AmBank), Al-Rahji Bank, Bank Islam Malaysia, CIMB Group Holdings Bhd (CIMB), HSBC Bank, Maybank, Public Bank, RHB Bank dan Standard Chartered Bank.

Perbincangan berkenaan turut menyentuh bidang-bidang pertumbuhan baharu yang boleh memperkukuh saranan nilai Malaysia dalam kalangan pelabur serantau dan global.

“Ketika kerajaan sedang merumus Naratif Ekonomi Madani, termasuk mengenal pasti sektor keutamaan bagi pertumbuhan dan pelaburan masa hadapan negara, kita juga hendaklah memastikan industri kewangan dan pasaran modal berinovasi selari dengan perubahan landskap global.

‘Saya turut menyeru supaya industri kewangan membawa wadah segar dalam mengekalkan Malaysia sebagai peneraju global bagi kewangan Islam serta membina kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E),” kata Anwar lagi.

Sementara itu, pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A-’ dengan tinjauan ‘Stabil’ oleh S&P Global Ratings (S&P) baru-baru ini membuktikan hala tuju ekonomi negara berada pada landasan yang betul.

Anwar bagaimanapun berkata, pengukuhan ekonomi ini mungkin tidak dapat dirasai sepenuhnya oleh rakyat yang masih bergelut dengan kos sara hidup dan juga PKS yang sedang pulih daripada pandemik.

“Oleh itu, Kerajaan bertekad untuk mempertingkatkan lagi usaha dalam merancakkan momentum pertumbuhan ekonomi dan melaksanakan konsolidasi fiskal bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan selaras dengan konsep Malaysia MADANI,” kata Anwar.

Kerajaan kini sedang dalam proses merangka Naratif Ekonomi MADANI bagi mencorakkan hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang, dan akan dilancarkan pada Ogos tahun ini.

Show More

Related Articles

Back to top button