PH bagi keutamaan kerusi kepada BN di Kelantan, Terengganu – Nik Nazmi
SHAH ALAM – Pembahagian kerusi di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kelantan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah mencapai 99 peratus dan dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan dan Terengganu, Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan perkara itu bakal diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk senarai calonnya.
“Alhamdulillah saya boleh katakan perbincangan di sana sangat positif..saya boleh katakan 99 peratus selesai, akan diumumkan dalam masa terdekat..
“Di Kelantan dan Terengganu, kita sudah umumkan dari awal untuk kedua-dua negeri itu..kita beri keutamaan kepada BN untuk bertanding lebih banyak kerusi memandangkan mereka ada sejarah dan akar umbi yang lama di sana.
“Tetapi kita juga ada peranan dan strategi kerusi kita di sana..yang dirasakan boleh menang di kedua-dua negeri,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.
Kelantan dan Terengganu antara enam negeri yang akan bertanding dalam PRN selain Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang.
Naib Presiden PKR itu turut mengulas ketika ditanya mengenai pendirian Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) , Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu bertanding sendirian.
“Saya belum berbincang lagi dengan kepimpinan parti, pengumuman yang dibuat oleh MUDA baru hari ini..terlalu awal untuk saya bagi respon,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Syed Saddiq menegaskan Muda bertekad membawa suara rakyat dan memperkenalkan politik baru yang menjauhi amalan lapuk.
Pendirian itu membuatkan MUDA bakal bertembung dengan PH-BN serta Perikatan Nasional yang dianggotai oleh PAS, BERSATU dan GERAKAN.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu, MUDA yang ketika ini berada di blok kerajaan, sudah beberapa kali memohon menyertai PH sebagai ahli gabungan tetapi sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas.