Berita Semasa

Ada urusan sejarah tidak selesai antara zaman British, Kedah

ALOR SETAR – UMNO negeri Kedah menyifatkan masih terdapat urusan yang belum selesai berkaitan sejarah antara zaman penjajahan British dan kerajaan Kedah pada masa itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah mengenai kedudukan Pulau Pinang dan Kedah.

“Sebagai rakyat Kedah dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Barisan Nasional (BN) negeri, saya menjunjung titah Tuanku pada Hari keputeraan Tuanku (yang ke-81) adalah ucapan yang lahir daripada hati Tuanku.

“(Ia) berkaitan dengan sejarah negeri Kedah yang panjang dan mengambil daripada titah ucapan Baginda menunjukkan Tuanku sangat memahami bahawa fakta sejarah di Kedah ini khususnya dalam sejarah Kedah tua sehinggalah kepada zaman penjajahan British, ada perkara yang saya boleh tafsirkan ‘unfinish business’ yang tidak diselesaikan oleh British,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Sultan Sallehuddin bertitah, pembentukan Malaysia tidak sepatutnya menjadi titik membenarkan sejarah Kedah yang wujud sekian lama dipadamkan.

Baginda bertitah, perbincangan mengenai sejarah Kedah mulai subur di pelbagai platform media sejak akhir ini dalam kalangan masyarakat, terutamanya membabitkan kedudukan Pulau Pinang dan Kedah.

Baginda turut menegaskan, adalah tidak wajar sekiranya suara rakyat negeri itu didiamkan terutama membabitkan sejarah dan kedaulatan Kedah.

Show More

Related Articles

Back to top button