Berita Semasa

STL: PDRM Defenders letak sasaran layak ke pentas akhir

KUALA LUMPUR – Pasukan PDRM Defenders menyasarkan untuk layak ke pentas akhir Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen 1 musim ini.

Pasukan itu yang diundi dalam Kumpulan B bersama Kelantan Warriors dan Sarawak Hunters bakal diperkuatkan dengan dua tonggak utama, Shaharil Aiman sebagai apit kanan dan Syahmi Hussin selaku tekong.

Menurut Ketua Jurulatih PDRM Defenders, Mohd Khalid Alias, sepanjang sembilan tahun beraksi dalam STL, jatuh bangun pasukan itu sudah menjadi lumrah untuk terus kekal bersaing.

“Untuk pemilihan pemain kali ini, kita memilih pemain terbaik daripada Kejohanan Ketua Polis Negara yang diadakan setiap tahun. Dengan barisan pemain-pemain ini ia telah menyuntik semangat baharu untuk PDRM Defenders bersaing dalam STL Divisyen 1 kali ini,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Mengulas lanjut katanya, sebagai persediaan bagi menghadapi kejohanan itu, pasukan itu telah menjalani latihan intensif di dewan sepak takraw Pusat Latihan Polis Malaysia (PULAPOL) selama tiga minggu sebelum saingan ini bermula.

Pada masa sama, katanya, mereka turut mengadakan perlawanan persahabatan bersama Pasukan STL Premier iaitu Bomba Fighters, KPT Masum Knight dan Sabah Mountaineers.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai cabaran di Divisyen 1, Mohd Khalid berkata, kehadiran pasukan Terengganu Turtles yang berada dalam kumpulan berlainan bakal memberikan cabaran sekiranya kedua-dua pasukan itu bertemu dalam pusingan seterusnya.

 

Beliau berkata, kehadiran tekong negara, Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Sobey sedikit sebanyak bakal memberikan ancaman kepada pasukan itu.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai cabaran di Divisyen 1, Mohd Khalid berkata, kehadiran pasukan Terengganu Turtles yang berada dalam kumpulan berlainan bakal memberikan cabaran sekiranya kedua-dua pasukan itu bertemu dalam pusingan seterusnya.

Beliau berkata, kehadiran tekong negara, Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Sobey sedikit sebanyak bakal memberikan ancaman kepada pasukan itu.

“PDRM Defenders setakat ini sudah sedia dari segi mental dan fizikal walaupun diundi bersama Kelantan Warriors dan Sarawak Hunters dalam kumpulan B, saya yakin dan akan cuba sehabis baik untuk melayakkan diri ke final.

“Saya mengharapkan semua pemain dapat menunjukkan prestasi yang baik dalam setiap perlawanan dan kekal fokus tanpa mengira mana-mana pasukan pihak lawan,” katanya.

Sementara itu, Shaharil yang mencipta sensasi ketika bersama pasukan Penang Black Panthers dua musim lalu berharap penyokong dan peminat PDRM Defenders memberikan sokongan padu kepada pasukan itu.

Shaharil yang terlepas beraksi pada musim lalu kerana masih belum melengkapkan latihan rekrut di PULAPOL berjanji akan memberikan aksi terbaik seperti ketika bersama Penang Black Panthers sebelum ini.

“Kepada penyokong dan peminat PDRM Defenders teruslah memberi sokongan yang padu untuk kami di dalam pertandingan ini nanti. Doa dan harapan penyokong dan peminat tidak akan kami sia siakan dan akan melakukan yang terbaik,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button