[VIDEO] “Saya akan pimpin Malaysia untuk Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan semua” – PM Anwar
SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu pengumuman peruntukan khas kepada kaum tertentu mengundang persepsi bahawa kerajaan hanya mengutamakan kaum tertentu sahaja.
Anwar berkata, beliau berpendirian sebagai seorang pemimpin yang memperjuangkan nasib semua kaum tanpa memilih warna kulit atau latar belakang.
“Ramai saudara kenal saya dan saya tidak tolak ansur dalam soal ini. Saya pernah sebut dulu dan sekarang dengan takdir tuhan diberi untuk pimpin negara ini…saya akan pimpin Malaysia untuk Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan semua.
“Kalau miskin itu miskin… saya tak tengok warna kulit atau keturunan. Saya minta pimpinan India atau semua rakan di sini supaya faham, kena ada anjakan sedikit… anjakan paradigma yang jelas.
“Kena faham perubahan dasar dan saya nak kamu beri sokongan sepenuhnya untuk keseluruhan dasar tidak kiralah untuk kepentingan kaum India, Melayu, Cina, Kadazan.
“Maka jangan sebut ini agenda India. Tidak ada dalam agenda untuk masyarakat India, Melayu tetapi ia adalah agenda rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini petang semalam.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalannya, Lim Hui Ying.
@malaysiatribune “Saya akan pimpin Malaysia untuk Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan semua” – PM @anwaribrahimofficial #malaysiamadani #malaysiatribune
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), R Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh; Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran dan bekas Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago.
Berdasarkan perangkaan kerajaan, Perdana Menteri berkata, kebanyakan kaum miskin di negara ini adalah orang Melayu.
Bagaimanapun, tambah beliau, data menunjukkan kaum paling miskin adalah masyarakat India.
“Kalau masuk kategori miskin tegar yang sekarang ini dikira sebanyak 130,000 ketua keluarga. Kalau perlu tambahan RM100 juta atau RM200 juta, saya akan pastikan tidak ada yang miskin tegar pada tahun ini. Mesti diselesaikan. Ini masalah paling besar kaum India.
“Saya orang Melayu… kalau saya berani menyahut itu, saya kena berani laksanakan supaya kategori miskin tegar itu selesai, dinoktahkan sama ada dia India, Melayu, atau lain-lain.
“Kemiskinan tegar maknanya makan belum sempurna, susu anak belum terjamin. Jadi itu bagi saya keutamaan yang patut diselesaikan tahun ini juga,” kata Anwar lagi.